Friday, December 23, 2011

Dari Meja Presiden TNBJOU


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & salam sejahtera,

Tahun 2011 akan melabuhkan tirainya dan tahun baru 2012 bakal menjelma. Terlalu banyak cabaran dan halangan yang telah dilalui bersama oleh TNB & TNBJOU dalam meniti usia yang sama 64 tahun. Meskipun tahun 2010 adalah tahun paling sihat & cemerlang dalam sejarah TNB namun kecemerlangan itu tidak dapat bertahan lama kerana dalam sekelip mata kini syarikat yang kita sayangi ini sedang mengalami denyutan nadi yang semakin lemah kerana ditekan kiri & kanan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Umum mengetahui TNB telah terbeban & membelanjakan 78.3 billion untuk tempoh 2001-2010 bagi membayar IPP. Kini isu kekurangan bekalan gas bersubsidi pula dilaporkan telah menjadikan kedudukan kewangan Syarikat merundum secara drastik. TNB terpaksa membelanjakan 5 hingga 6 kali ganda kos bahan api alternatif (distillates) untuk memastikan bekalan elektrik negara tidak terputus.

Kesan kegawatan kewangan Syarikat kini turut menjejaskan pekerja & menimbulkan persoalan terhadap masa depan Syarikat. Kesatuan amat memandang serius situasi ini & akan berusaha memastikan pekerja terus kekal menikmati terma & syarat perkhidmatan yang ada. Kesatuan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam mempertahankan TNB dan hak-hak pekerja. Sekiranya situasi semasa TNB ini dibuktikan mempunyai kaitan dengan penyelewengan atau kelemahan perancangan oleh mana-mana pihak maka Kesatuan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjamin pekerja & Syarikat dilindungi.

Isu bayaran Bonus tahunan hanyalah merupakan isu tahunan yang dikendalikan Kesatuan tetapi isu sebenar yang perlu difahami ialah survival Syarikat meneruskan peranannya sebagai operator tunggal dalam industri perbekalan elektrik negara. Banyak pihak opportunis berminat untuk melihat TNB dipecah-pecahkan. Hakikatnya TNB yang terus diasak ketika hayatnya mencecah 64 tahun amat memerlukan sokongan padu semua pekerjanya.

Dalam masa yang sama ramai dikalangan pekerja TNB mula mempersoalkan perancangan yang dibuat oleh TNB sendiri dalam menghadapi krisis bekalan gas. Sumber memaklumkan pihak Petronas telah membuat perancangan sejak sekian lama dalam urusan perbekalan gas dan perkara ini dimaklumi TNB sendiri. Teka teki pekerja ini bertambah kukuh bila CEO Petronas secara terbuka menyalahkan Pengurusan TNB sebagai tidak cekap melalui kenyataan media yang dibuatnya baru-baru ini. Kesatuan mengharapkan pihak TNB mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengembalikan keyakinan pekerja terhadap kredibiliti teraju utama TNB yang hanya berdiam diri bila dicemuh sedemikian rupa. Malangnya tiada mana-mana pihak dalam TNB yang berani menangkis cemuhan tersebut melainkan hanya memberikan penjelasan-penjelasan secara tertutup yang tidak mampu menjawap persoalan utama yang dibangkitkan oleh pihak Petronas.

TNB bukan sahaja mengalami kegawatan kewangan kesan dari kontrak IPP dan isu kekurangan bekalan gas malahan sedang menghadapi krisis keyakinan pengguna yang dicetuskan oleh pihak Petronas. Sehubungan dengan itu pihak Kesatuan dan Persatuan TNB mengorak langkah menyusun perancangan untuk bersemuka dengan pihak Petronas bagi mendapatkan penjelasan sebenar terhadap isu kekurangan bekalan gas dan sebab musababnya. Kita mahu semua pihak berlapang dada bagi membuka ruang untuk Kesatuan dan Persatuan mendapatkan klarifikasi dari semua pihak. Usaha ini diharap dapat memberikan jawapan sebenar dan memulihkan semangat pekerja yang kian luntur akibat kesan krisis demi krisis yang berlaku hingga imej syarikat tercalar di dalam dan luar TNB. Maklumat yang diterima dari sumber TNB dan stesen janakuasa yang menggunakan bahan alternatif (disstillates) juga menunjukkan industri perbekalan elektrik negara kini turut berada dalam situasi yang amat bahaya. Beberapa setesen janakuasa yang direkabentuk menggunakan gas tetapi kini menggunakan bahan alternatif (disstillates) berada dalam keadaan kritikal kesan dari hampir setahun menggunakan bahan alternatif yang telah berlarutan. Kemungkinan negara akan berdepan dengan kejadian tertupus bekalan elektrik akibat kerosakan stesen janakuasa gas adalah amat tinggi jika masalah ini gagal ditangani segera oleh pihak-pihak yang berkiatan bagi mengelakkan satu musibah besar berlaku kepada negara.

Ahli-ahli diminta terus memberikan sokongan teguh kepada TNBJOU dalam mengharungi situasi getir ini. Sejarah telah membuktikan tiada Kesatuan Sekerja di dunia ini yang mahu menghancurkan sesebuah syarikat. Sebaliknya banyak syarikat unggul di dunia rebah & tersungkur ditangan pihak-pihak yang menyokong atas kepentingan peribadi hingga membawa kepada robohnya sesebuah Syarikat.


PERHIMPUNAN PERDANA KESATUAN & PERSATUAN TNB
15/12/11 Kuala Lumpur-Kira-kira 500 ahli Kesatuan & Persatuan TNB (TNBJOU,PETNB,K3P) telah menghadiri Perhimpunan Perdana yang diadakan di Dewan Serbaguna TNB. Program yang diusahakan oleh Jawatankuasa Bersama Kesatuan & Persatuan TNB telah berjalan dengan lancar & mendapat sokongan ahli-ahli TNBJOU,K3PTNB & PETNB.

Amat membanggakan kerana terdapat juga ahli-ahli Kesatuan & Persatuan TNB yang sanggup datang jauh termasuk dari Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, N.Sembilan,Johor, Pahang untuk turut sama hadir menyokong program tersebut. Sdr Abu Hussin Nekmat-Presiden K3P, Tn Hj Shukur (YDP PETNB) & Sdr Mohd Roszeli Majid (Presiden TNBJOU) telah mengulas isu-isu semasa berdasarkan perspektif Kesatuan & Persatuan. Perhimpunan ini merupakan langkah permulaan yang diusahakan Kesatuan & Persatuan TNB bagi memberikan informasi terkini situasi syarikat kepada ahli-ahli dalam usaha membentuk benteng pekerja bagi mengharungi cabaran dan rintangan menjelang tahun 2012 . Kesatuan & Persatuan TNB merancang untuk memperluaskan sesi program tersebut ke seluruh negeri dalam masa terdekat

LAWATAN KERJA KESATUAN & PERSATUAN TNB KE PETRONAS GAS

Seramai 16 pemimpin utama Kesatuan & Persatuan TNB akan membuat lawatan kerja ke Petronas Gas Kerteh, K.Terengganu pada 28/12/11 bagi mengenalpasti punca sebenar yang menyebabkan krisis bekalan gas yang kini menggugat kewangan TNB. Adalah penting bagi Kesatuan & Persatuan mendapatkan kesahihan & penjelasan semua pihak sebelum sesuatu tindakan susulan diusahakan.

(petikan dari E-Fokus Dec 2011)

No comments:

Post a Comment