Friday, December 23, 2011

Dari Meja Presiden TNBJOU


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & salam sejahtera,

Tahun 2011 akan melabuhkan tirainya dan tahun baru 2012 bakal menjelma. Terlalu banyak cabaran dan halangan yang telah dilalui bersama oleh TNB & TNBJOU dalam meniti usia yang sama 64 tahun. Meskipun tahun 2010 adalah tahun paling sihat & cemerlang dalam sejarah TNB namun kecemerlangan itu tidak dapat bertahan lama kerana dalam sekelip mata kini syarikat yang kita sayangi ini sedang mengalami denyutan nadi yang semakin lemah kerana ditekan kiri & kanan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Umum mengetahui TNB telah terbeban & membelanjakan 78.3 billion untuk tempoh 2001-2010 bagi membayar IPP. Kini isu kekurangan bekalan gas bersubsidi pula dilaporkan telah menjadikan kedudukan kewangan Syarikat merundum secara drastik. TNB terpaksa membelanjakan 5 hingga 6 kali ganda kos bahan api alternatif (distillates) untuk memastikan bekalan elektrik negara tidak terputus.

Kesan kegawatan kewangan Syarikat kini turut menjejaskan pekerja & menimbulkan persoalan terhadap masa depan Syarikat. Kesatuan amat memandang serius situasi ini & akan berusaha memastikan pekerja terus kekal menikmati terma & syarat perkhidmatan yang ada. Kesatuan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam mempertahankan TNB dan hak-hak pekerja. Sekiranya situasi semasa TNB ini dibuktikan mempunyai kaitan dengan penyelewengan atau kelemahan perancangan oleh mana-mana pihak maka Kesatuan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjamin pekerja & Syarikat dilindungi.

Isu bayaran Bonus tahunan hanyalah merupakan isu tahunan yang dikendalikan Kesatuan tetapi isu sebenar yang perlu difahami ialah survival Syarikat meneruskan peranannya sebagai operator tunggal dalam industri perbekalan elektrik negara. Banyak pihak opportunis berminat untuk melihat TNB dipecah-pecahkan. Hakikatnya TNB yang terus diasak ketika hayatnya mencecah 64 tahun amat memerlukan sokongan padu semua pekerjanya.

Dalam masa yang sama ramai dikalangan pekerja TNB mula mempersoalkan perancangan yang dibuat oleh TNB sendiri dalam menghadapi krisis bekalan gas. Sumber memaklumkan pihak Petronas telah membuat perancangan sejak sekian lama dalam urusan perbekalan gas dan perkara ini dimaklumi TNB sendiri. Teka teki pekerja ini bertambah kukuh bila CEO Petronas secara terbuka menyalahkan Pengurusan TNB sebagai tidak cekap melalui kenyataan media yang dibuatnya baru-baru ini. Kesatuan mengharapkan pihak TNB mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengembalikan keyakinan pekerja terhadap kredibiliti teraju utama TNB yang hanya berdiam diri bila dicemuh sedemikian rupa. Malangnya tiada mana-mana pihak dalam TNB yang berani menangkis cemuhan tersebut melainkan hanya memberikan penjelasan-penjelasan secara tertutup yang tidak mampu menjawap persoalan utama yang dibangkitkan oleh pihak Petronas.

TNB bukan sahaja mengalami kegawatan kewangan kesan dari kontrak IPP dan isu kekurangan bekalan gas malahan sedang menghadapi krisis keyakinan pengguna yang dicetuskan oleh pihak Petronas. Sehubungan dengan itu pihak Kesatuan dan Persatuan TNB mengorak langkah menyusun perancangan untuk bersemuka dengan pihak Petronas bagi mendapatkan penjelasan sebenar terhadap isu kekurangan bekalan gas dan sebab musababnya. Kita mahu semua pihak berlapang dada bagi membuka ruang untuk Kesatuan dan Persatuan mendapatkan klarifikasi dari semua pihak. Usaha ini diharap dapat memberikan jawapan sebenar dan memulihkan semangat pekerja yang kian luntur akibat kesan krisis demi krisis yang berlaku hingga imej syarikat tercalar di dalam dan luar TNB. Maklumat yang diterima dari sumber TNB dan stesen janakuasa yang menggunakan bahan alternatif (disstillates) juga menunjukkan industri perbekalan elektrik negara kini turut berada dalam situasi yang amat bahaya. Beberapa setesen janakuasa yang direkabentuk menggunakan gas tetapi kini menggunakan bahan alternatif (disstillates) berada dalam keadaan kritikal kesan dari hampir setahun menggunakan bahan alternatif yang telah berlarutan. Kemungkinan negara akan berdepan dengan kejadian tertupus bekalan elektrik akibat kerosakan stesen janakuasa gas adalah amat tinggi jika masalah ini gagal ditangani segera oleh pihak-pihak yang berkiatan bagi mengelakkan satu musibah besar berlaku kepada negara.

Ahli-ahli diminta terus memberikan sokongan teguh kepada TNBJOU dalam mengharungi situasi getir ini. Sejarah telah membuktikan tiada Kesatuan Sekerja di dunia ini yang mahu menghancurkan sesebuah syarikat. Sebaliknya banyak syarikat unggul di dunia rebah & tersungkur ditangan pihak-pihak yang menyokong atas kepentingan peribadi hingga membawa kepada robohnya sesebuah Syarikat.


PERHIMPUNAN PERDANA KESATUAN & PERSATUAN TNB
15/12/11 Kuala Lumpur-Kira-kira 500 ahli Kesatuan & Persatuan TNB (TNBJOU,PETNB,K3P) telah menghadiri Perhimpunan Perdana yang diadakan di Dewan Serbaguna TNB. Program yang diusahakan oleh Jawatankuasa Bersama Kesatuan & Persatuan TNB telah berjalan dengan lancar & mendapat sokongan ahli-ahli TNBJOU,K3PTNB & PETNB.

Amat membanggakan kerana terdapat juga ahli-ahli Kesatuan & Persatuan TNB yang sanggup datang jauh termasuk dari Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, N.Sembilan,Johor, Pahang untuk turut sama hadir menyokong program tersebut. Sdr Abu Hussin Nekmat-Presiden K3P, Tn Hj Shukur (YDP PETNB) & Sdr Mohd Roszeli Majid (Presiden TNBJOU) telah mengulas isu-isu semasa berdasarkan perspektif Kesatuan & Persatuan. Perhimpunan ini merupakan langkah permulaan yang diusahakan Kesatuan & Persatuan TNB bagi memberikan informasi terkini situasi syarikat kepada ahli-ahli dalam usaha membentuk benteng pekerja bagi mengharungi cabaran dan rintangan menjelang tahun 2012 . Kesatuan & Persatuan TNB merancang untuk memperluaskan sesi program tersebut ke seluruh negeri dalam masa terdekat

LAWATAN KERJA KESATUAN & PERSATUAN TNB KE PETRONAS GAS

Seramai 16 pemimpin utama Kesatuan & Persatuan TNB akan membuat lawatan kerja ke Petronas Gas Kerteh, K.Terengganu pada 28/12/11 bagi mengenalpasti punca sebenar yang menyebabkan krisis bekalan gas yang kini menggugat kewangan TNB. Adalah penting bagi Kesatuan & Persatuan mendapatkan kesahihan & penjelasan semua pihak sebelum sesuatu tindakan susulan diusahakan.

(petikan dari E-Fokus Dec 2011)

Wednesday, December 21, 2011

KESATUAN & PERSATUAN TNB (TNBJOU,K3P,PETNB) MENCARI KEBENARAN DI PETRONAS GAS....


21 December 2011- Tenaga Nasional Junior Officer Union, Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB & Persatuan Eksekutif TNB akan mengadakan Lawatan Kerja ke Loji Petronas Gas, Kerteh, Terengganu pada 28 December 2011 bagi mendapatkan maklumat berhubung isu-isu berkaitan bekalan gas antara TNB dan Petronas. Lawatan Kerja ini akan dihadiri 16 Pemimpin Utama Kesatuan dan Persatuan TNB. Berdasarkan urusan yang selesai dimuktamadkan dengan pejabat CEO Petronas dan Petronas Gas, program lawatan kerja tersebut akan membuka ruang kepada pemimpin Kesatuan dan Persatuan TNB untuk memahami operasi Petronas Gas.

Baru-baru ini CEO Petronas telah mengeluarkan kenyataan media yang merujuk kepada pengurusan TNB sebagai tidak cekap. Adalah penting bagi Kesatuan dan Persatuan TNB mendapatkan penjelasan dari pihak tersebut bagi mengelakkan tuduhan tersebut dari terus mencemar dan menjejaskan imej syarikat dan pekerjanya. Lawatan ini juga adalah sebagai menyambut cabaran CEO TNB semasa merasmikan Persidangan PERUNIKA di Johor Baharu baru-baru ini dimana beliau mengulas secara sinis dengan mengatakan Kesatuan dan Persatuan TNB hanya merupakan 'jaguh dalaman' tetapi tidak melakukan apa-apa apabila Pengurusan TNB dituduh sebagai tidak cekap oleh Petronas.

Disamping itu, Kesatuan dan Persatuan TNB akan mendapatkan info terkini berhubung krisis bekalan gas dan mengenalpasti punca masalah sebenar yang berlaku supaya tidak mudah terkeliru dengan kenyataan demi kenyataan dari mana-mana pihak tanpa menyelidiki sendiri kesahihan faktanya yang dinyatakan.

Program lawatan ini juga bertujuan memperkukuhkan ikatan ukhuwah antara Kesatuan/
Persatuan TNB dan Kesatuan Pekerja Petronas - KAPENAS. Sehubungan dengan itu Kesatuan / Persatuan TNB akan mengadakan majlis Ramah Mesra dan jamuan makan malam bersama pegawai-pegawai Kesatuan KAPENAS.

Perancangan juga sedang dilakukan untuk membolehkan 16 pemimpin utama Kesatuan/
Persatuan TNB mengadakan sesi taklimat dan perjumpaan dengan ahli-ahli di Stesen Janaletrik PAKA, Terengganu terhadap isu-isu semasa di TNB.

Kesatuan / Persatuan TNB akan bergerak ke selatan tanahair mulai pertengahan bulan Januari 2012 bagi Program Taklimat Bersama Kesatuan dan Persatuan dalam usaha mempertingkatkan kesedaran ahli-ahli terhadap isu-isu semasa yang sedang dihadapi TNB. Semua program yang dirancang adalah usaha yang akan dijayakan bersama dan telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Kesatuan dan Persatuan TNB yang bermesyuarat pada 21/12/11 di pejabat TNBJOU.

Ahli-ahli akan dimaklumkan dari masa kesemasa jadual program lawatan pemimpin Kesatuan dan Persatuan ke kawasan masing-masing melalui pegawai-pegawai cawangan Kesatuan dan Persatuan.

Friday, December 9, 2011

SELAMATKAH KITA WAHAI PEKERJA?


Kita sebagai pekerja perlu bimbang dengan perkembangan mutakhir yang menimpa pekerja negara terutama di syarikat GLC. Pindaan Akta Kerja 1955 baru sahaja diluluskan pada bulan Oktober di Parlimen yang antara lain menimbulkan ancaman ‘contractor for labour’ atau pelaksanaan skim kerja secara kontrak yang bakal menghapuskan jaminan pekerjaan tetap dimasa depan.

Pada tahun ini sahaja beberapa syarikat GLC bergoncang kerana perubahan dasar yang dibuat oleh kerajaan melalui plan Tranformasi Negara yang antara lain melibatkan Pos Malaysia, MAS, Air Asia, Telekom, KTMB & TNB. Pos Malaysia pada awal tahun ini telah dijual kepada Al-Bukhary Group dan menyebabkan ketidak tentuan kepada kedudukan keahlian 7 union di dalam syarikat tersebut. Berdasarkan peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967-sesuatu Kesatuan itu perlu mendapat pengiktirafan semula bila syarikat berpindah tangan bagi melayakkan mereka mengujudkan semula Perjanjian Bersama.

AirAsia pula yang merupakan milik taikun Tony Fernandes telah berjaya melobi pihak-pihak tertentu hingga melayakkan mereka mengujudkan kerjasama dan seterusnya pengambilalihan saham syarikat gergasi penerbangan Negara – MAS. AiaAsia cukup terkenal dengan polisi ‘Union Busting’ atau anti Kesatuan Sekerja sehinggakan mana-mana pekerja yang merancang menubuhkan Kesatuan Sekerja telah dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja. Penggabungan ini mendapat tentangan hebat dari dua kesatuan induk di dalam MAS tetapi akhirnya ianyanya tidak dapat dihalang lagi sehinggalah termenterai perjanjian antara MAS dan AirAsia baru-baru ini. Nasib lebih dua puluh lima ribu pekerja MAS kini terumbang-ambing menunggu penyusunan semula organisasi penerbangan Negara.

Telekom Malaysia (TM) pula mengalami penguncupan pekerja tetap secara drastik kerana perubahan polisi yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut. Banyak bahagian yang telah diswastakan dan kerja-kerja ‘outsourcing’ atau kontrak dilakukan dengan meluas.Beberapa anak syarikat milik TM kini telah berpindah tangan kepada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dengan orang-orang politik tertentu dalam kerajaan.

Minggu lepas pekerja Keretapi Tanah Melayu (KTMB) dikejutkan dengan pengumuman untuk menswastakan sekali lagi Keretapi Tanah Melayu kepada sebuah syarikat pengendali keretapi express. Terdapat kira-kira lebih dua puluh ribu pekerja KTMB yang kini semakin gelisah atas ketidak tentuan yang ujud kesan dari berita tersebut. Kesatuan KTMB telah bersuara membantah dasar tersebut dan sedang ‘berperang’ dengan pihak pengurusan KTMB bagi menghalang hasrat penjualan kepentingan KTMB kepada pihak-pihak yang berkepentingan.

Malahan industri perbankkan juga sedang mendakapi situasi yang merbahaya kepada pekerja. EON Bank yang baru sahaja diambilalih oleh Hong Leong Bank sejak 6 bulan lalu kini sedang giat menawarkan skim pemisahan pekerjaan atau VSS. Mana-mana pekerja yang ditawarkan VSS kini berada dalam delema samada untuk menerimanya ataupun menolaknya. Natijahnya keputusan menawarkan VSS tersebut tidak dibuat mengikut amalan wajib sebagaimana kelazimannya. Ianya mendapat kelulusan Bank Negara dan pihak Kementerian Tenaga Kerja tanpa merundingkannya terlebih dahulu dengan Kesatuan sekerja NUBE yang menjadi wakil sah pekerja disisi undang-undang.

Melihat semula pengujudan ‘MY Power’ melalui Jawatankuasa PEMANDU, amatlah jelas isyarat telah terpampang iaitu satu tanda terhadap idea pemecahan TNB sebagai monopoli tunggal dalam industri perbekalan elektrik Negara. Kenyataan demi kenyataan dari pelbagai pihak termasuk semasa persidangan yang baru berlalu menunjukkan pihak-pihak yang berminat untuk mengambil alih TNB telahpun berjaya mengetuk pintu TNB. Halangan terbesar yang masih menghantui pihak-pihak tersebut adalah Pengurusan dan pekerja TNB. Kini TNB pula dilanda masalah dengan pihak PETRONAS berhubung bekalan gas hingga menyebabkan kewangan TNB merundum secara tiba-tiba. Sesuatu yang bukan rahsia bila satu forum yang diadakan di hotel J.W.Marriot Kuala Lumpur baru-baru ini telah menampilkan beberapa sampling model pelaksanaan pemecahan kuasa monopoly dalam industri bekalan elektrik. Tibalah masanya semua pihak dalam TNB menggembling tenaga dan menyusun langkah bagi membentuk benteng mempertahankan syarikat warisan yang telahpun berusia 64 tahun ini. Bersama kita pertahankan TNB dari dirampas oleh pihak yang berkepentingan. Semuga Allah selamatkan syarikat TNB dan pekerjanya...InsyaAllah

Wednesday, December 7, 2011

PERHIMPUNAN PERDANA KESATUAN & PERSATUAN TNB - ISU-ISU SEMASA PEKERJA & TNB



PERHATIAN UNTUK AHLI-AHLI PETNB,K3P & TNBJOU!
JAWATANKUASA BERSAMA KESATUAN & PERSATUAN TNB (PETNB,K3P,JOU) DALAM MESYUARATNYA HARI INI (9/12/11) MEMUTUSKAN MEMINDA TARIKH PROGRAM PERHIMPUNAN PERDANA DARI 13/12/11 KE 15/12/11 (KHAMIS) DI LOKASI DAN MASA YANG SAMA SEPERTI DALAM POSTER BERIKUT.
*Perubahan tarikh adalah bersempena dengan tarikh Mesyuarat AGM TNB yang akan diadakan pada sebelah pagi tarikh & lokasi yang sama. Sila maklumkan pindaan tarikh ini kepada rakan-rakan anda.

J/Kuasa Bersama juga telah menerima surat akuan pembayaran interim bonus dan komitmen majikan pada 7/12/11. Sehubungan itu J/Kuasa Bersama telah memajukan surat maklumbalas menyatakan 4 ketetapan untuk ditimbangkan semula oleh Lembaga Pengarah yang akan bermesyuarat menjelang Mesyuarat AGM TNB.

4 Ketetapan yang telah diputuskan secara konsensus oleh Jawatankuasa Bersama Kesatuan dan Persatuan adalah seperti berikut :-

i) Bayaran Pendahuluan (Interim) sebanyak 1 bulan gaji pokok dengan kadar minima RM1,000.00 dan dibayar pada 22 Disember 2011.
ii) Bayaran Bonus Prestasi muktamad hendaklah dibayar selewat-lewatnya pada Feb 2012.
iii) Bayaran bonus muktamad tahun Kewangan 2010/2011 adalah sepertimana yang terkandung dalam memo dengan rujukan AJK-KES/PER.TNB1/11 bertarikh 1 Disember 2011.
iv) Pembayaran bonus muktamad dibuat berdasarkan markah prestasi.

Sebarang berita mutakhir terhadap tuntutan bonus & isu-isu semasa TNB akan dimaklumkan dalam perhimpunan pada 15/12/11.

ATURCARA PERHIMPUNAN PERDANA (Mula jam 5.30pm)
1.Bacaan Doa
2.Nyanyian Lagu Negara Ku
3.Nyanyian Lagu TNB
4.Ucapan Aluan Pengerusi Majlis
Sesi ‘Union Speakers Talk’
• Presiden K3P
• Yang DiPertua PETNB
• Presiden TNBJOU
5.Sesi Dialog bersama Presiden / Yang DiPertua Kesatuan / Persatuan
6.Bacaan Ikrar Pekerja
7.Bersurai

PERHIMPUNAN PERDANA KESATUAN & PERSATUAN TNB - ISU-ISU SEMASA PEKERJA & TNB